Hari Bertemu Pelanggan Secara Maya Perpustakaan UMP

Hari Bertemu Pelanggan Secara Maya Perpustakaan UMP

Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang buat pertama kalinya telah mengadakan Hari Bertemu Pelanggan Perpustakaan Secara Maya melalui aplikasi Google Meet pada 16 Disember 2020 bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Seiring dengan kaedah baru bertemu pelanggan secara maya, objektif Hari Bertemu Pelanggan ini adalah memberi peluang kepada pengguna perpustakaan untuk mengemukakan sebarang pertanyaan mengikut slot yang dijadualkan. Pengguna juga boleh memberikan pandangan atau cadangan mengenai perkhidmatan perpustakaan secara terus kepada pustakawan UMP. 

Acara Hari Bertemu Pelanggan ini telah dimulakan dengan slot bersama Encik Iswan Akim Bin Ismail, Pustakawan Kanan Seksyen Perkhidmatan Pengguna yang memberi penerangan berkaitan akaun pengguna , peminjaman & pemulangan buku , pembaharuan buku dan keahlian perpustakaan.

Image
Image
Seterusnya slot berkaitan akses pangkalan data atas talian, pinjaman antara perpustakaan dan program pendidikan pengguna telah disampaikan oleh Puan Affida Binti Abu Bakar, Pustakawan Kanan Seksyen Pendidikan & Penyelidikan. Peserta juga turut diberi penerangan mengenai perolehan koleksi perpustakaan dan kaedah sumbahan bahan hadiah iaitu buku yang boleh diserahkan kepada perpustakaan. Slot ini telah disampaikan oleh Puan Noor Azura Binti Omar, Pustakawan Kanan Seksyen Perolehan & Metadata.

Program diteruskan pada slot petang dengan penerangan dari Puan Noorul Farina Binti Arifin, Pustakawan Kanan Seksyen Pengurusan Ilmu & Digital mengenai UMP Institutional Repository (UMP IR) & UMP Library Electronic Collection (eColLib). Sepanjang slot ini juga diadakan soalan kuiz kepada semua peserta. Selepas slot ini, peserta turut diberi penerangan berkaitan kaedah sewaan ruang perpustakaan kepada pengguna luar oleh Pustakawan Kanan Seksyen Pemasaran, Encik Ahmad Nurudin Bin Abd Nasir.
Image
Image
Hari Bertemu Pelanggan ini diakhiri dengan slot Library Virtual Tour di mana peserta telah di bawa melihat kemudahan yang terdapat di Perpustakaan Pekan secara langsung oleh Pembantu Pustakawan, Encik Mohd Fazaldin Bin Abdul Latif dan Encik Mohd Esuadi Bin Mustaffa. Slot ini berjaya menarik perhatian pelajar baharu yang masih belum berpeluang melihat dan menggunakan kemudahan yang terdapat di perpustakaan.

Melalui maklumbalas yang diterima daripada peserta diharapkan Hari Bertemu Pelanggan secara maya yang telah diadakan ini dapat memberi peluang kepada semua pengguna untuk berkomunikasi secara terus dengan pustakawan UMP dan mengetahui aktiviti terkini yang diadakan di perpustakaan selaras dengan norma baru yang dipraktikkan pada masa kini.

Antara maklumbalas peserta selepas program:
Image
Disediakan oleh:



Affida Abu Bakar
Pustakawan Kanan
Seksyen Pendidikan & Penyelidikan

Cetak   Emel