Perkongsian Ilmu: Pengurusan Turnitin di Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama Tunku Azizah Knowledge Centre, Universiti Kuala Lumpur (UNIKL)

Perkongsian Ilmu: Pengurusan Turnitin di Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama Tunku Azizah Knowledge Centre, Universiti Kuala Lumpur (UNIKL)

Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah dijemput untuk berkongsi pengalaman dalam menguruskan akaun perisian Turnitin kepada 23 orang staf Tunku Azizah Knowledge Centre, Universiti Kuala Lumpur (UNIKL). Sesi ini telah diadakan pada 20 Januari 2023, jam 9.30 pagi secara dalam talian menggunakan platform Microsoft Teams. Tujuan utama sesi ini adalah untuk berkongsi ilmu dan amalan terbaik mengenai cara Perpustakaan UMP menguruskan akaun Turnitin serta perkhidmatan yang disediakan kepada staf dan pelajar. Di samping itu, turut dikongsikan implikasi kewangan, proses langganan serta cabaran dan kesukaran dalam pengurusan akaun Turnitin.

Perkongsian ilmu ini disampaikan oleh Puan Affida Abu Bakar, Pustakawan Unit Pendidikan dan Penyelidikan (UPen). Sesi ini turut dihadiri oleh Puan Nor Ashikin Ahmad dan Cik Rosfadilla Mohamad Zainun dari Unit Pendidikan dan Penyelidikan. UPen merupakan unit yang bertanggungjawab dalam menguruskan perkhidmatan Turnitin di Perpustakaan UMP sebagai pentadbir akaun. Turut sama sepanjang sesi dijalankan ialah Puan Pazilah Hamzah, Pengurus Kanan Tunku Azizah Knowledge Centre, UNIKL.
Image
Image
Selain perkongsian pengurusan akaun Turnitin, Puan Affida turut berkongsi pengalaman beliau semasa memberikan perkhidmatan kepada staf dan pelajar di UMP. Ini kerana UMP menggunakan sepenuhnya platform Turnitin untuk semakan persamaan teks (Similarity Report) hasil tugasan pelajar yang dijana daripada perisian Turnitin. Perpustakaan UMP juga menyediakan perkhidmatan sokongan kepada semua pengguna termasuk panduan akses dan latihan yang diadakan secara fizikal serta atas talian.

Aktiviti perkongsian ilmu ini merupakan peluang yang berharga bagi staf untuk mendapatkan gambaran mengenai pengurusan aktiviti dalam organisasi selain dapat mencetuskan idea-idea baharu. Diharapkan maklumat yang dikongsi semasa sesi ini dapat memberi manfaat dan berguna untuk pengurusan akaun Turnitin di UNIKL nanti.
Image
Disediakan oleh:


Pn. Affida Abu Bakar
Pustakawan Kanan
Unit Pendidikan & Penyelidikan
Disunting oleh:


Cik Amelia Hasan
Pustakawan Kanan

Print   Email