Selamat Datang ke Malaywood

Selamat Datang ke Malaywood

Image
Selamat Datang ke Malaywood ’ - Roslan Jomel

ISBN  : 9789830689289
Penerbit : Institut Terjemahan & Buku Malaysia.
Tahun diterbitkan : 2012
No. Panggilan : PL5138.R67 S45 2012 fic
Muka surat : 319 halaman
URL efind : https://efind.ump.edu.my/cgi-bin/koha/opac-detail.pl?biblionumber=68425

Di dalam dunia Roslan Jomel yang menyingkirkan hukum lojik dan menterbalikkan realiti dan fantasi, ada patung Barbie yang mempersoalkan kariernya sebagai seorang pembaca berita, ada lelaki yang bertukar menjadi biawak, ada adiwira bersayap yang hidup di jalanan, dan ada peti televisyen yang kemurungan.

Menerusi watak-watak tersebut, Roslan Jomel ada menyelitkan kritikan budaya, sosial dan politik dengan gayanya yang tersendiri.

Cerpen-cerpen Roslan Jomel tidak tipikal, kerap kali ia bergerak tanpa kesudahan, tergantung tanpa penyelesaian. Tiada pemula, tiada klimaks, tiada resolusi. Kerana itulah kehidupan, dan kehidupan jarang sangat akan mengikut turutan 3 babak sebegitu.

Namun begitu, dengan naratif sebegini, ada masanya penulis akan menghadapi dilema untuk mengekalkan keterujaan pembaca sehingga ke penamat, dan masalah yang sama dihadapi oleh Roslan Jomel apabila ceritanya ada yang meleret-leret. Masalah ini ketara pada saya dalam cerpen terpanjangnya dalam buku ini iaitu, Lelaki Yang Menetak Anaknya. Walaupun saya antara penggemar gaya penulisan Roslan Jomel, saya terpaksa akui saya juga bergelut untuk menghabiskan cerita tersebut.

Barangkali sebab itulah Roslan Jomel tidak pernah menulis novel.

Jikalau anda menginginkan pembacaan yang konvensional anda akan kecewa, dan barangkali anda akan mempersoalkan kenapa penulisan sebegini boleh wujud. Tapi jika anda ingin rasa teruja dengan beberapa kerat sahaja penulis di Malaysia yang berkarya dengan genre dan lenggok sebegini, anda bermula di tempat yang betul.
Image
Ulasan buku oleh:
En. Nik Ahmad Nasyrun Bin Nik Abd Malik, Pembantu Pustakawan

Print   Email