Kenali Rasul Kita Muhammad S.A.W. : Menyingkap Keperibadian & Cara Hidup Insan Mulia

Kenali Rasul Kita Muhammad S.A.W. : Menyingkap Keperibadian & Cara Hidup Insan Mulia

'Kenali Rasul Kita Muhammad S.A.W.: Menyingkap Keperibadian & Cara Hidup Insan Mulia'- Ahmad Adnan Fadzi & Zahazan Mohamed

ISBN : 9789673881925
Penerbit: Telaga Biru
No. Panggilan: BP75.29.M4 T57 2014
Tahun Diterbitkan: 2014
Mukasurat: 685
Url Efind : https://efind.ump.edu.my/cgi-bin/koha/opac-detail.pl?biblionumber=87258

Pengulas :
En. Zaiful Bahari Baharum, Pembantu Pustakawan
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Image
Sekitar setahun yang lepas, waktu itu aku mengunjungi sebuah toko buku di salah sebuah pasaraya yang mana pada asalnya ingin membeli beberapa naskhah Yasin untuk dihadiahkan ke rumah anak yatim dan asnaf miskin di kampung aku. Sedang membelek belek naskhah yasin tersebut, aku terpandang sebuah buku yang bagiku amat cantik ‘covernya’ dan berkulit keras. Mempunyai 685 halaman muka surat tidak termasuk kulit bertajuk “Kenali Rasul Kita Muhammad S.A.w. Menyingkap Keperibadian & Cara Hidup Insan Mulia, terjemahan oleh asy-Syamail al-Muhammadiyyah karangan Imam at-Tirmizi

Setelah sekian lama buku ini terperap di dalam almari, Alhamdulillah sepanjang PKP ini, Allah s.w.t memberi kesempatan kepada aku untuk menghabiskan bacaan ku.

Buku ini membincangkan dan menghimpunkan hadis tentang akhlak dan budi pekerti Nabi Muhammad SAW. Bukan itu sahaja, buku ini turut mengumpulkan hadis mengenai sifat-sifat fizikal, pakaian, makanan, minuman, ibadah, pergaulan, cara tidur Baginda, dan banyak lagi. Ia meliputi seluruh kehidupan Baginda SAW.

Setiap hadis yang dikupas dan dipaparkan di dalam buku ini turut disertakan dengan ulasan dan tafsiran hadis yang mudah difahami dan jelas. Dengan kehadiran tafsiran hadis ini ia dapat memudahkan kefahaman orang awam yang tidak biasa dengan istilah dan untuk mengetahui maksud sebenar yang diungkap di dalam hadis. Segalanya boleh kita ketahui mengenai sosok tubuh mulia Nabi Muhammad SAW. Mempunyai 56 bab, ia sudah cukup menunjukkan betapa banyaknya perkara yang dibincangkan mengenai peribadi dan kehidupan Nabi Muhammad SAW. Antara keseronokan dan kelebihan lain membaca buku ini, ianya memaparkan kepada kita gambar, grafik dan informasi yang menarik. Pasti kita ingin tahu bagaimana cara duduk Rasulullah SAW. Buku ini ada jawapannya. Ia bukan sahaja membincangkan dan menghuraikan cara duduk Baginda SAW tetapi buku ini turut disertakan gambar untuk lebih jelas kefahaman kita. Buku ini turut memaparkan gambar-gambar pedang kepunyaan Baginda SAW, capal Baginda SAW, dan banyak lagi. Segala akhlak baik Baginda SAW membuatkan kita terpesona dan jatuh cinta. Tegasnya, buku ini tidak akan mengecewakan kita untuk mengenali Rasulullah SAW dengan lebih dekat.

Kesimpulannya, aku menyarankan kepada semua pembaca yang ingin mengenali Rasulullah dengan lebih terperinci, milikilah buku ini. InsyaAllah, rasa cinta kita kepada baginda akan lebih mendalam dan kisah-kisah menarik daripada hadis-hadis yang dipaparkan dalam buku ini dapat mendidik jiwa dan memberi inspirasi kepada kita. Buku ini akan ku hadiahkan kepada Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang setelah aku dibenarkan bekerja seperti biasa di pejabat nanti untuk dimanfaatkan bersama. InsyaAllah.

Print   Email