Wasiat Nabi s.a.w kepada Abu Zarr Al-Ghifari r.a

Wasiat Nabi s.a.w kepada Abu Zarr Al-Ghifari r.a

Image
Abu Dzar al-Ghifari (ابو ذر الغافاري) adalah salah seorang sahabat nabi s.a.w yang terawal memeluk islam dan termasuk sahabat baginda yang paling baik. Beliau seorang pemimpin yang zuhud, berani menyatakan kebenaran dan tidak takut dengan celaan dalam berdakwah ke jalan Allah s.w.t. Malah beliau dengan berani menyatakan keislamannya di hadapan Kaabah di depan penduduk Quraisy lalu dibelasah oleh orang kafir Quraisy. Ciri-ciri sahabat nabi s.a.w yang bernama Abu Dzar al-Ghifari (ابو ذر الغافاري) ini dipegang daripada tujuh wasiat Rasulullah s.a.w kepadanya.

Buku ini telah mengariskan wasiat Rasulullah kepada Abu Dzar dengan 7 perkara;

1. Supaya aku mencintai orang-orang miskin dan dekatkan diri dengan mereka
2. Baginda menyuruh aku untuk melihat kepada sesiapa yang berada di bawah ku dan tidak melihat kepada mereka yang di atas ku.
3. Baginda menyuruh aku menjalinkan silaturahim walau mereka yang berbuat tidak baik kepada ku.
4. Baginda menyuruh aku untuk membanyakkan menyebut: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ (Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah)
5. Baginda menyuruh aku untuk berkata benar walau ia pahit.
6. Baginda menyuruh aku untuk tidak takut kepada celaan manusia (ketika berdakwah) di jalan Allah
7. Baginda melarang aku agar tidak meminta-minta sesuatu pun kepada manusia.

Menariknya buku ini, perincian setiap 7 wasiat Rasulullah s.a.w dihuraikan dengan sokongan sisipan dari ayat al-quran dan hadis dari perawi-perawi masyhur seperti Imam Ahmad, Muslim, Abu Hurairah, Ibnu Majah dan banyak lagi. Setiap sisipan yang diberikan, disertakan juga nota kaki sebagai sumber rujukan agar pembaca menilai kesahihan hadis-hadis yang diberikan .

Antara wasiat atau nasihat yang menarik perhatian saya di dalam buku ini adalah pada wasiat kedua "Baginda menyuruh aku untuk melihat kepada sesiapa yang berada di bawah ku dan tidak melihat kepada mereka yang di atas ku". Dapat difahamkan bagaimana baginda meminta supaya bagi urusan dunia/kebendaan sebaiknya kita sentiasa memandang ke bawah agar kita rasa sedar dan bersyukur dengan nikmat yang allah kurniakan. Semoga kita akan mempunyai hati yang tenang dan hidup dengan keredhaannya. Mempunyai banyak harta tidak semestinya bahagia, tetapi kekayaan hati itulah yang paling baik.

Buku ini walaupun tajuknya 'Wasiat Nabi s.a.w kepada Abu Zarr Al-Ghifari r.a.', tetapi setiap wasiat dan nasihat baginda nabi s.a.w amat sesuai dan khusus untuk umat islam untuk dihayati dan mengamalkannya.

Print   Email