Budak ladang

Budak ladang

Budak ladang - Salleh De Ran

ISBN : 97898336547033
Penerbit : PTS One
No. Panggilan : PL5139 .S25 B83 2009 fic
Tahun diterbitkan : 2009
Muka surat : 234 p.
URL efind : https://tinyurl.com/budakladang

Ringkasan buku oleh: Cik Rosfadilla Binti Mohamad Zainun, Penolong Pustakawan
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Image
Budak ladang mengisahkan tentang kehidupan dua generasi yang tinggal di ladang sayur. Pahit manis sebuah kehidupan di luar bandar diceritakan dalam bentuk penulisan oleh penulis, Salleh De Ran. Buku ini mengandungi 12 bab dan setiap bab berkisar tentang suasana kampung, kehidupan budak sekolah dan persahabatan antara tiga bangsa iaitu bangsa Melayu, bangsa India dan bangsa Cina.

Jalil, Moorthy dan Ong merupakan sahabat baik dan mengusahakan ladang sayur bersama-sama. Mereka hidup berjiran dan sentiasa saling bantu-membantu antara satu sama lain. Ladang sayur adalah lambang kedamaian bagi mereka. Walaupun berbeza agama, bangsa dan warna kulit namun mereka cukup bahagia dengan persahabatan ini. Anak-anak mereka juga merupakan sahabat baik dan membesar di ladang sayur ini bersama-sama.

Tiga sahabat baik iaitu Malek, Sundram dan Swee Teen sentiasa bersama ke mana sahaja. Seperti ayah mereka, ketiga-tiga sahabat ini membesar dan menjalani kehidupan di ladang sayur. Semua berjalan seperti biasa sehinggalah suatu hari Malek diugut oleh seseorang yang tidak dikenali tentang janji yang pernah dibuat oleh ayahnya, Jalil. Ong juga telah menerima ugutan untuk dirinya namun telah merahsiakannya daripada keluarga dan sahabat baiknya. Ong dan isteri telah dibunuh dan kejadian ini telah meninggalkan trauma kepada anak perempuan mereka, Swee Teen yang juga sahabat baik kepada Malek dan Sundram. Keluarga Sundram telah sepakat untuk memelihara Swee Teen seperti anak mereka sendiri. Walaupun sudah tiada, namun hasil tanaman mendiang Ong masih ada di ladang sayur dan itulah yang menjadi kenangan kepada Jalil dan Moorthy.

Kehidupan kepada sahabat baik generasi kedua ladang sayur ini diuji lagi apabila ayah Malek, Jalil dan ayah Sundram, Moorthy dan isterinya telah dibunuh. Malek, Sundram dan Swee Teen kini perlu menjalani kehidupan tanpa ibu bapa. Malek yang telah kematian ibu sejak kecil kini telah menjadi anak yatim piatu. Begitu juga dengan sahabat baiknya iaitu Sundram dan Swee Teen. Mereka telah memutuskan untuk terus tinggal di ladang sayur bersama kenangan yang ada ketika ibu bapa mereka masih ada. Apakah sebenarnya janji yang dibuat oleh Jalil sehingga menyebabkan dirinya dibunuh? Siapakah pembunuh yang membunuh ibu bapa Swee Teen dan ibu bapa Sundran dan kenapa mereka dibunuh?

Print   Email