Kriminal : catatan seorang wartawan jenayah : the untold story

Kriminal : catatan seorang wartawan jenayah : the untold story

Image
Kriminal - catatan seorang wartawan jenayah : the untold story ’ - Syahril A. Kadir

ISBN : 9789671393390
Penerbit : Buku Pojok PLT
No. Panggilan : PN4820 .S93 2016
Padat dan penuh informasi. Inilah ungkapan yang sesuai untuk digambarkan kepada buku yang dikarang oleh wartawan jenayah, Syahril A. Kadir ini yang mana beliau bukanlah orang yang asing di dalam bidang penulisan di negara kita. Perkongsian dari pengalaman sebenar penulis tentang peristiwa yang berlaku dari kes pembunuhan, ancaman militan, bencana alam, kisah masyarakat dan banyak lagi dikongsi sebagai tauladan dan pengajaran kepada semua pembaca.

Penulis menceritakan tentang kes-kes terkenal yang berlaku di negara kita termasuk kes pembunuhan kejam pegawai-pegawai polis di Semporna, Sabah, kisah sebenar Prebet Adam yang mengamuk hingga membunuh seorang lelaki pada Oktober 1987 dan Botak Chin yang terkenal pada era 70an. Semua cerita ini ditulis dengan penuh jujur untuk pembaca mengetahui kebenaran di sebalik perististiwa yang berlaku. Penulis berkongsi cerita ini dengan mengambil rujukan dari sumber yang sahih untuk mengelakkan fitnah dan berita palsu.

Bersama dengan kisah-kisah yang dikongsi di dalam buku ini, penulis dengan tegasnya menyatakan pendiriannya untuk sesuatu perkara. Sebagai seorang wartawan yang berpengalaman, penulis tekad untuk menulis tentang perkara yang benar berlaku tanpa mengubah apa-apa. Walaupun pernah artikel yang ditulisnya tidak disiarkan kerana tidak sesuai untuk disiarkan namun beliau tekad untuk terus menulis.

Secara peribadi, saya merasakan buku ini perlu dibaca oleh semua pembaca. Kisah yang ditulis dari pengalaman beserta nasihat dan pengajaran yang turut diselitkan di dalam buku ini menjadikan buku ini sesuai dibaca oleh semua. Menyatakan yang betul dan benar itu satu kewajipan, itulah prinsip penulis yang dipegang dan prinsip itulah yang menjadikan penulis salah seorang wartawan yang disegani di negara kita.
Image
Ulasan Buku Oleh :
Cik Rosfadilla Mohamad Zainun, Penolong Pustakawan

Print   Email