Di Hamparan Shamrock : Kuseru nama-Mu

Di Hamparan Shamrock : Kuseru nama-Mu

Image
Di Hamparan Shamrock : Kuseru nama-Mu ’ - Hasrizal Abdul Jamil

ISBN : 9789830973555
Penerbit : Galeri Ilmu
No. Panggilan : BP88 .H37 2012
Setiap kita ada mimpi ngeri yang tersendiri. Mimpi ngeri yang pada mengenangnya, kita boleh terbangun pada tengah malam, berpeluh-peluh, ada kalanya sesak nafas, dan malu untuk ia diketahui orang. Dia tidak terkecuali. Namun, di celah perjalanan itu, ada kesepian yang belum terungkap.

Sepi yang memerlukan masa yang panjang untuk dia bangkit dengan sebuah keyakinan. Keyakinan untuk jujur kepada diri. Akur kepada liku-liku skrip kehidupan, yang menyampaikan ustaz ini kepada di mana dia berada, pada hari ini. Dengan linangan air mata, dia ucapkan, “Alhamdulillah … Di Hamparan Shamrock, Kuseru Nama-Mu!”

Melalui buku ini, Hasrizal Abdul Jamil merakamkan rentetan perjalanan kehidupannya semasa di London, Belfast, Galway, dan seluruh pelosok United Kingdom. Penulis berkongsi cerita, rasa dalam tawa dan air mata. Jauh di kampung halaman, kelana sering dilanda payah dan derita. Nostalgia itulah yang memperkenalkan beliau kepada erti sebuah kehidupan sebagai seorang pelajar, imam, anak dan juga suami.

Penulisan ditinta dengan bahasa yang bersahaja dan santai. Diserikan dengan rencah kehidupan seorang musafir yang sentiasa mencari makna di sebalik setiap tanda tanya serta ujian kehidupan yang melanda.
Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-MU memanifestasikan usaha beliau untuk jujur kepada diri sendiri, demi sebuah kedamaian. Bahawa beliau sama seperti manusia lain, tidak terlepas daripada peraturan sebuah kehidupan.
Buku ini berkisar tentang pengalaman Ustaz sepanjang menetap di bumi Eropah. Perkongsian yang saya rasakan cukup berharga. Sebagai seorang Muslim, buku ini memberi saya inspirasi, semangat, nasihat dan teguran kepada saya dalam mendepani ujian, berjihad dan perjuangan dalam hidup. Kisah Islam dan Muslim yang berlaku di bumi Eropah membuat saya rasa lebih dekat dengan pelbagai persoalan umat. Diuji dan diuji. Tapi terus tabah melangkah menghadapi liku-liku kehidupan.
Image
Ulasan Buku Oleh :
Pn. Nor Nadia Shahida Zakria Pembantu Pustakawan

Print   Email