Life’s like that: scenes from Malaysian life

Life’s like that: scenes from Malaysian life

Image
Life’s like that: scenes from Malaysian life’ - Lydia Teh

ISBN  : 9679788865
Penerbit   : Pelanduk Publications
No. Panggilan : DS 549. T44 2007 c.2
Tahun diterbitkan : 2007
Muka surat : 306
Bahasa     : Buku dalam Bahasa Inggeris
URL efind : https://efind.ump.edu.my/cgi-bin/koha/opac-detail.pl?biblionumber=42567
Buku lama akan jadi buku baru bagi yang baru membacanya. Walaupun buku ini terbitan tahun 2007 namun mesej yang hendak disampaikan oleh pengarang masih relevan dengan peredaran masa kini. Medium yang digunakan untuk menyampaikan mesej yang berat tentang sikap manusia (dalam konteks masyarakat di Malaysia) adalah berbentuk santai dan penggunaan lenggok bahasa yang ringkas dan mudah difahami diselang-selikan dengan jargon yang bersesuaian. Semua mesej berkisar tentang pengalaman pengarang berkaitan kehidupan dari pelbagai perspektif seperti pahit manis hidup berkeluarga, hobi, perayaan, cabaran kehidupan di Malaysia. Penceritaan dalam buku ini dibahagikan kepada 15 tajuk utama dan di setiap tajuk ada sub tajuk kecil mengenai mesej melalui penceritaan ringan yang mahu disampaikan untuk pembacaan dan perkongsian pengalaman pengarang.

Di bab pertama mesej pengarang adalah tentang konflik untuk menyesuaikan dirinya dari kebiasaan kepada keadaan yang berbeza dan mencari pendekatan terbaik untuk menyelesaikan perbezaan tersebut. Konflik ini sememangnya biasa dialami oleh semua orang yang ingin melakukan perubahan.

Bab dua adalah penceritaan tentang strategi kelangsungan hidup. Di antara mesej yang ingin disampaikan melalui setiap cerita adalah sebagai manusia kita perlu  menyesuaikan diri dengan keadaan. Ada tugasan hanya perlu diuruskan oleh yang pakar. Persekitaran adalah medium yang baik untuk pembelajaran. Dalam mencapai sesuatu yang sukar, kita perlu sasarkan kepada sesuatu yang mustahil. Setiap insiden yang berlaku dalam kehidupan kita tidak sama dengan keinginan kita terhadap sesuatu. Pendidikan adalah kunci kepada kejayaan hidup. Kegagalan dalam mendidik generasi muda tentang nilai-nilai murni akan memberi kesan terhadap sikap mereka secara negatif. Kesan kegagalan pendidikan hanya boleh diatasi dengan penguatkuasaan peraturan.

Bab 3 Setiap ibubapa tidak mengharapkan  intan berlian sebagai hadiah. Apa yang diharapkan adalah anak-anak menjadi insan yang soleh, bertanggungjawab, berdisiplin dan patuh dan menghormati ibu bapa. Contoh pendekatan diberikan adalah bagaimana bulan perayaan dapat membentuk sikap baik yang berkonsepkan yang memberi lebih baik dari menerima.
Bab 4 adalah mesej tentang pengalaman negatif berkaitan kenderaan yang sememangnya telah menjadi norma biasa dialami masyarakat seperti berebut tempat letak kereta kerana tiada kecukupan, meletakkan kenderaan sesuka hati sehingga menyusahkan orang lain. Pengetahuan pemandu tentang kenderaan dan  sikap pemandu yang menyebabkan kadar tekanan darah memuncak akibat tiada toleransi.
Bab 5 hingga 8 Bagaimana mengatasi masalah berkaitan kehidupan harian dalam konteks pengarang seperti rabun iaitu dengan membuat pembedahan laser, kaedah untuk bangun awal, masalah rutin seperti penyahtinjaan, masalah parut akibat jerawat atau campak, masalah uban, pemakanan, pencernaan, serta berkenaan haiwan peliharaan dan serangga perosak. Senario yang diceritakan mungkin ada persamaan dalam pengalaman masyarakat yang lain.

Bab 9 hingga 10 adalah mesej pengarang tentang hidup berkeluarga yang bermula dengan proses kehamilan, kelahiran, proses berpantang mengikut kaedah rawatan pemulihan cina. Kebiasaannya mengikut semua bangsa sama ada melayu, cina, India dan lain-lain sememangnya masih banyak pantang larang yang menjadi kepercayaan berbanding logik. Kepercayaan juga merangkumi konsep keberkatan atas ahli keluarga iaitu semakin ramai ahli keluarga semakin diberkati. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mendidik anak-anak mengikut acuan mereka dari segi penerapan nilai-nilai murni terhadap anak anak mereka.

Bab 11 hingga 15 adalah tentang bagaimana mengisi masa lapang melalui aktiviti- aktiviti yang dirasakan bersesuaian seperti menyertai pertandingan bertulis, melalui radio, menonton pelbagai cerita, membuat tugasan rugasan rumah dan sebagainya namun semua itu adalah pilihan individu dalam memastikan kelangsungan kehidupan masing-masing.
Image
Ulasan buku oleh:
Pn. Noor Azura Binti Omar, Pustakawan Kanan

Print   Email