Pendidikan tahfiz dan kemahiran insaniah

Pendidikan tahfiz dan kemahiran insaniah

Image
'Pendidikan tahfiz dan kemahiran insaniah'-Dr.Rashidi Abbas & En.Azhar Jaafar

*Merangkul Anugerah Buku Negara 2019 (ABN 2019) bagi Buku Umum Terbaik (Kategori Pendidikan) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur

ISBN : 9789672054979
Penerbit :  Penerbit Universiti Malaysia Pahang
Nombor Panggilan : BP42 .R37 2018
Tahun Terbit : 2018
Muka surat : 147
URL efind : https://efind.ump.edu.my/cgi-bin/koha/opac-detail.pl?biblionumber=89204

Buku Pendidikan Tahfiz Dan Kemahiran Insaniah (PTKI) dihasilkan oleh Pensyarah Kanan Pusat Sains Kemanusiaan UMP iaitu Dr Rashidi Abbas dan En. Azhar Jaafar adalah untuk memberi bimbingan kepada huffaz dan institusi tahfiz. Selain itu, untuk melihat sejauhmana perkembangan PTKI dalam kalangan institusi huffaz. Buku ini dibahagikan kepada tiga kandungan utama iaitu konsep Islam dalam membangunkan minda huffaz, amalan akhlak dalam kehidupan huffaz dan kemahiran insaniah yang perlu dimiliki oleh huffaz.   

Didalam kandungan konsep Islam dalam membangunkan minda huffaz yang pertama ialah Rabbaniyyah iaitu bermaksud hukum dan peraturan datang dari Allah SWT adalah bersifat mutlak, bersih dan sempurna. Yang kedua ganjaran bersifat duniawi dan ukhrawi, ketiga ialah universal iaitu agama Islam bersifat sesuai untuk seluruh manusia, keempat ialah syumul/lengkap yang meliputi hubungan dengan Allah, sesama manusia dan alam. Konsep kelima ialah seimbang yang meliputi penjagaan rohani dan jasmani. Yang keenam tetap dan anjal iaitu walaupun syariatnya tidak berubah tetapi ada fleksi mengikut keadaan, konsep ketujuh iaitu akhir sekali ialah ajaran Islam mudah dilaksanakan oleh semua manusia. Semua yang dilampirkan berikut adalah tujuh konsep Islam dalam membangunkan minda huffaz.

Seterusnya, buku ini menyediakan senarai amalan akhlak mulia yang perlu dimiliki oleh para huffaz iaitu amanah/integriti, bertanggungjawab, ikhlas, adil, bersyukur, sabar, dan berbudi mulia. Akhir sekali, perkara yang dititik beratkan dalam buku ini ialah berkenaan kemahiran insaniah yang perlu dimiliki oleh huffaz agar mereka mampu bersaing dan berjaya pada masa kini. Antara kemahiran insaniah yang perlu dimiliki ialah kemahiran berkomunikasi, kemahiran kerja berpasukan, kemahiran kepemimpinan, kemahiran keusahawanan, kemahiran pemikiran kritis dan menyelesaikan masalah, kemahiran pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, dan akhir sekali kemahiran insaniah ialah kemahiran etika dan moral profesional.

Pengakhirannya, semoga buku PTKI dapat membantu meningkat ilmu pengetahuan dan kecemerlangan para huffaz di Malaysia khususnya. Disamping itu, semoga ulasan buku ini dapat memberi sedikit gambaran awal berkenaan isi kandungan buku  PTKI, segala kebaikan adalah datang dari Pencipta dan kekurangan dari yang dicipta. Kesimpulannya, kesemua perkara yang dikongsikan didalam buku ini amatlah penting untuk dijadikan panduan, dihayati dan diamalkan oleh para huffaz dan institusi tahfiz agar dapat menaikkan kualiti dan imej pendidikan tahfiz negara kita di peringkat antarabangsa.

Image
Ulasan buku oleh:
En. Muhammed Fawwaz Abdul Rasid, Pustakawan

Print   Email